Latest Events

Latest Events

UJIAN MRI LEBIH CEKAP - Berita Harian

UJIAN MRI LEBIH CEKAP - Berita Harian

07

Mar, 2017



TEKNOLOGI MRI yang lebih canggih untuk keselesaan pesakit yang berkembang pesat dalam pelbagai bidang membawa perubahan besar terhadap kehidupan penduduk dunia hari ini termasuk dalam bidang penjagaan kesihatan.

Pengenalan teknologi perubatan yang canggih bukan saja dapat mengesan pelbagai penyakit dengan lebih pantas dan cekap, malah menangkis tanggapan dan kebimbangan masyarakat terhadap pengesanan penyakit yang sering dianggap pengalaman menakutkan.

Baru-baru ini, Hospital Pakar KPJ Sentosa Kuala Lumpur meningkatkan perkhidmatannya untuk manfaat pesakit dengan memperkenalkan peralatan diagnosis berteknologi tinggi dan lebih efisien iaitu Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) dengan keupayaan tambahan.

Teknologi canggih MRI Siemens Magnetom Aera 1.5T itu membolehkan pengalaman melakukan ujian MRI yang kurang tekanan untuk pesakit selain lebih cepat dan cekap.

Malah, teknologi itu juga menjamin pengeluaran imej yang berkualiti tinggi untuk diagnosis lebih tepat yang dibuat doktor, sekali gus pesakit mendapat lebih nilai di hospital itu.

1.5T Magnatom Aera juga mempunyai reka bentuk lubang terbuka yang membantu mengurangkan perasaan ‘ditutup’ dengan penggunaan MRI tradisional.

Selain itu, reka bentuk pendek juga membolehkan pesakit menjalani imbasan mereka dengan cara yang kurang menakutkan.

Pengerusi Hospital Pakar KPJ Sentosa Jasimah Hassan berkata, pengenalan perkhidmatan itu sebahagian daripada komitmen hospital itu yang semakin berkembang kepada pesakit dan masyarakat di bandar ini.


Katanya, hospital itu sentiasa berusaha meningkatkan perkhidmatan dan adanya teknologi baru itu, ia seiring perubahan besar yang berlaku dalam penjagaan kesihatan hari ini.

“Sejak penubuhan KPJ Sentosa empat dekad lalu, hospital ini berkembang bersama masyarakat dalam memastikan capaian dan kemampuan terhadap perkhidmatan penjagaan kesihatan yang berkualiti adalah berpatutan dan boleh didapati pada setiap masa.

“KPJ mengiktiraf keperluan hospital ini untuk berkembang dan berubah bagi memenuhi keperluan semasa. Ini bukan saja merangkumi perkhidmatan pesakit di katil wad kami tetapi ia juga termasuk keupayaan pemeriksaan moden seperti MRI dan alat pengimbas CT (CT Scan),” katanya pada pelancaran teknologi baru MRI di Hospital KPJ Sentosa, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Pelancaran itu disaksikan rakan teknologi, Pengarah Urusan Siemens Healthcare Sdn Bhd, Rod Frazer. Turut hadir Pengarah Eksekutif Hospital Pakar KPJ Sentosa Mohd Taufik Ismail, Ketua Pegawai Eksekutifnya Miranda Harumal, Pengarah Perubatan Dr Mohd Harris Lu dan Pakar Perunding Radiologi, Datuk Dr Abdul Samad Sakijan.